Salam Pengenalan

"1 Hobi, 1 Hati, 1 Frekuensi"
Ungkapan yang selalu berkumandang di corong speaker. Tidak jemu didengar dan disebut oleh setiap warga Kelab Peminat Komunikasi Radio Amatur Mersing (KPKRMg) sehingga ia menjadi trademark kelab. Ungkapan inilah yang menjadi pendorong dan semangat kepada setiap warga KPKRMg untuk bersatu dalam apa jua keadaan.


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Makluman...

"KPKRAM RIDE TO PENANG"

Pada 14 - 18 Oktober 2015, KPKRAM akan melaksanakan salah satu event tahunan yang diberi nama "Ride To Penang". Seramai 25 orang ahli KPKRAM bersama 6 buah motorsikal dan 5 buah kereta akan berkonvoi dari Mersing, Johor ke Pulau Pinang. Konvoi ini akan diketuai oleh Pak Jemain 9M2JSY.

Tujuan Ride To Penang dilaksanakan adalah untuk merapatkan ukhwah sesama warga KPKRAM dan antara warga KPKRAM dan rakan-rakan radio amatur di sepanjang perjalanan yang akan ditempuh.

Destinasi pertama: Jawi, Pulau Pinang (14-17 Okt)
Destinasi kedua: Parit Buntar, Perak (17 Okt)
Destinasi ketiga: Shah Alam, Selangor (17-18 Okt)

Ride To Penang juga akan melawati beberapa tempat-tempat menarik sebagai acara santai warga konvoi.

InsyaAllah sepanjang perjalanan nanti, admin dan rakan-rakan konvoi akan update secara ringkas perjalanan konvoi Ride To Penang di blog dan FB (#kpkramridetopenang)

Di harap agar apa yang dirancang akan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Sekian...

73 de admin

Sunday, June 26, 2016

Program ziarah Ramadhan 2016

Assalamualaikum w.b.t....

Terima kasih kepada pak presiden kerana memberi kepercayaan untuk sama-sama mengendalikan blog ini. Posting pertama dari co-admin(9w2vjz) berkaitan dengan program yang baru selesai dijalankan di sekitar Kg. Teluk Lipat, Kg. Semanyir dan Kg. Hubung, Endau. kali ni 10 buah rumah keluarga dhaif telah dipilih untuk diziarahi. Disamping itu, beberapa barangan keperluan harian dan sumbangan duit raya juga turut diedarkan hasil sumbangan ahli-ahli kelab dan bukan ahli.






~~~vjz

Wednesday, December 17, 2014

Peperiksaan Radio Amatur Siri 12-2014

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Ketika blog ini ditulis, rakan-rakan SWAL bersama beberapa rakan-rakan amatur dari KPKR Mersing sedang dalam perjalanan berkonvoi menuju Melaka Bandaraya Bersejarah untuk menghadiri Peperiksaan Radio Amatur Wilayah Selatan pada esok hari bersamaan 18 Disember 2014 bertempat di Avillion Legacy Melaka.

Semoga selamat dalam perjalanan pergi dan balik kepada semua SWAL yang menyertai dan rakan-rakan amatur yang mengiringi.

Semoga berjaya kepada semua SWAL yang akan menghadapi Peperiksaan Radio Amatur di seluruh negara. Setelah segala apa yang anda telah pelajari dan hadapi, esok adalah penentuannya.

Buatlah yang TERBAIK!!

Wassalam.

Monday, April 21, 2014

RENUNGAN BERSAMA...

Assalamualaikum dan Salam Radio Amatur.

Maaf kerana lama admin tidak update blog KPKRMg. Banyak urusan tugasan hakiki yang perlu diselesaikan sehinggakan terlupa sejenak kewujudan blog ini. (*aptb.. hehe..)

Entri kali ini, admin tertarik untuk berkongsi luahan dari seorang old timer Radio Amatur yang telah admin baca di dalam FB Radio Amatur Malaysia. Beliau ada memperkatakan jurang perbezaan penggemar Radio Amatur terdahulu dan terkini. Beliau juga ada memberi buah fikiran yang admin rasakan cukup bagus. Bagi admin, kata-kata beliau cukup memberi kesan sehingga membuat admin terfikir sejenak.

Mohon sama-sama kita fikirkan dan renungkan kata-kata beliau..

"Suatu ketika dahulu, penggemar radio amatur bersusah payah mengambil lesen radio amatur untuk mendalami ilmu radio amatur untuk penyelidikan, buat antenna, power supply, radio kecemasan dan dxing. Sayang sekali, radio amatur kini adalah tidak lebih sebagai komunikasi sekunder kepada telefon selular. Lesen dan kelebihan radio amatur juga hanya digunakan untuk hobi primer seperti konvoi kelab kelab kereta, rekreasi dan lain lain.

Dahulu, Ramai yang memasuki kelab dan persatuan radio amatur untuk aktif di dalam bidang-bidang radio amatur selain daripada bertukar-tukar ilmu radio amatur semasa eyeball. Sekarang, komitmen berpersatuan adalah tidak lebih daripada berpersatuan secara virtual dan online melalui media dan jaringan sosial. Perjumpaan dan aktiviti kelab tidak lagi mendapat penyertaan yang ramai apatah lagi jika kelab membuat mesyuarat agung tahunan. Aktiviti seperti ini tidak dianggap penting dan hanya membuang masa untuk pergi meredah kesesakan di jalan raya.

Dahulu, 9w akan 'mencari' old timers dan 9m untuk mendapatkan ilmu atau pengalaman orang lama, tidak kira jauh, malam atau siang. Sekarang, ramai yg memilih untuk menunggu dan mengharapkan ilmu datang menyembah bumi setelah post mesej 'kontek perdana' di FB, blog atau group Whatsapp.

Perbualan di repeater-repeater semakin rancak ala tele-conferencing dan corak bahasa negara jiran, amat kurang tatacara dan linggo radio ham yang sebenar digunakan. Pada suatu ketika dahulu, tidak kira persatuan atau kelab, kita merasa senang untuk QSO di mana-mana repeater sekali pun. Sekarang, repeater dan frekuensi adalah seperti hak mutlak dan pegangan kekal milik kelab hingga terasa cuak untuk bergabung di jaluran.

Di peringkat persatuan dan kelab pulak, disebabkan oleh seorang-dua yang fanatik kepada kelab, menyebabkan radio amatur berpuak-puak mengikut kelab. Secara individu jika berjumpa, sesama kita tiada masalah untuk berjabat tangan minum teh semeja tetapi apabila berpesatuan, sahutan untuk join venture buat aktiviti bersama atau bergabung dilihat lebih kepada negatif daripada kebaikan sedangkan setiap persatuan mempunyai statement "Kita x dak masalah untuk bekerjasama... Cumanya mereka yg tak nak..!"

Maaf, jika penelitian ini mengganggu gugat perasaan, tetapi inilah hakikat radio ham di Malaysia sekarang.

Persoalannya sekarang... Mahukah kita semua melihat ini berterusan? Mahukah kita berpeluk tubuh dan hanya petingkan diri sendiri? Mahukah kita lihat dunia radio amatur di Malaysia hanya hebat di facebook, whatsapp, blog dan internet?

Saya berpendapat dan berharap agar tuan-tuan dan puan-puan, terutama radio ham yang baru untuk sama-sama kembalikan kegemilangan radio ham Malaysia.

Ahli-ahli persatuan atau kelab eloklah hadir di dalam aktiviti anjuran kelab masing-masing. Sebulan sekali pon cukuplah. Tidak guna untuk masuk kelab atau persatuan hanya untuk hak menggunakan repeater atau sekadar nak dapat sticker kelab.

Selalu-selalulah libatkan diri dengan aktiviti seperti dxing, home brew antenna, aprs, emcomm dan banyak lagi melalui kelab atau group group radio ham di Malaysia. Banyak lagi faedah radio amatur selain dari bercakap dengan rakan-rakan secara percuma.

Interaksi antara radio ham dan antara kelab dengan kelab perlu diperbanyakkan kerana hanya dengan bersemuka minum teh sama-sama, kita dapat mengetahui sejarah, bertukar maklumat dan pandangan mengenai hal ehwal semasa radio amatur. Isu-isu dapat diselesaikan jika kita mendengar penjelasan dari kedua-dua pihak daripada hanya mendengar dari suatu pihak sahaja. Rumusan dapat dibuat dengan lebih bernas dan positif.

Mari kita sama-sama kembalikan kegemilangan dunia radio amatur Malaysia dan sama-sama tentukan kesinambungan dan relevan radio amatur Malaysia di masa hadapan.

Wallahualam."

Sumber: FB Radio Amatur Malaysia

Wednesday, January 1, 2014

2014: Let's go!!!!!!!

Tahun 2013 telah melabuhkan tirai akhirnya. Banyak kenangan pahit, manis, suka, duka dilalui bersama sepanjang tahun yang penuh cabaran serta dugaan. Walaupun ujian dan dugaan yang datang dirasakan berat, namun semuanya ditempuh dengan jayanya.

Tanpa semangat jitu, kerjasama serta perpaduan seluruh warga kelab, agak mustahil untuk kita tempuhinya sehingga ke hari ini. Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh warga kelab serta rakan-rakan yang turut sama menyokong KPKR Amatur Mersing secara langsung ataupun tidak langsung.

Kini, 2014 telah menjelma. Tahun baru, semangat baru, azam baru. Semoga dengan kehadiran tahun baru ini akan lebih menguatkan semangat serta mengeratkan lagi perpaduan sesama warga KPKR Amatur Mersing.

Sekian coretan ringkas dari admin.
73 de admin

Saturday, November 9, 2013

Pengenalan kepada Radio Amatur (dipetik dari risalah SKMM)

Apakah itu Radio Amatur?
Radio Amatur ataupun juga dikenali sebagai 'Ham Radio' ialah hobi berkenaan membina, mengujikaji dan berkomunikasi melalui radio. Pengguna-pengguna Radio Amatur ini saling berhubung dengan rakan-rakan mereka di seluruh dunia melalui beberapa set-set frekuensi radio yang telah ditetapkan.

Bilakah Radio Amatur bermula?
Sejarah Radio Amatur ini telah bermula semenjak perhubungan radio digunakan. Pada tahun 1912, Kongress Amerika Syarikat telah meluluskan undang-undang pertama bagi mengawal-selia pemancaran radio di Amerika Syarikat. Bermula tahun 1914, pengguna Radio Amatur telah mula berkomunikasi dan mengadakan satu sistem penghantaran mesej di antara mereka. Di Malaysia, Radio Amatur merupakan titik bermulanya perkhidmatan radio secara persendirian dan komersil.

Radio Amatur untuk siapa?
Sesiapa sahaja. Tidak kira jantina, pangkat, agama, bangsa, atau keupayaan, pelajar, remaja, golongan belia, professional, pesara, OKU yang deria pendengaran baik, artis, ahli sukan, suri rumahtangga dan lain-lain.

Apakah yang boleh saya lakukan dengan Radio Amatur?
Tidak seperti teknologi perhubungan lain, Radio Amatur membolehkan anda berhubung dari mana-mana tempat, pada setiap masa. Pada waktu-waktu bencana, Radio Amatur amat berguna terutamanya kepada agensi-agensi penyelamat. Pada ketika lain, anda juga kadang-kala boleh bercakap dengan para angkasawan atau membalikkan isyarat dari bulan. Anda juga boleh menghantar fail ataupun gambar secara digital. Adakah hobi lain yang menyediakan sebegitu ciri sepertinya?

Saya sentiasa sibuk. Adakah saya masih boleh menikmati hobi ini?
Sudah tentu! Hobi ini tidak terikat kepada sesuatu masa, tempat dan pendapatan seseorang. Memandangkan ianya mudah dikendalikan, ramai yang sentiasa sibuk mendapatinya seronok digunakan dan mengurangkan tekanan selepas seharian bekerja. Anda dan keluarga anda juga boleh menikmati dan mempelajari hobi ini.

Apakah perbelanjaan yang diperlukan bagi hobi ini?
Sebuah radio bersaiz tapak tangan yang baru mungkin sama harganya dengan satu TV 19 inci yang berkos rendah. Radio yang lebih besar adalah sama kosnya dengan sebuah komputer. Selain dari itu, bahan-bahan pembelajaran berkenaan Radio Amatur adalah berpatutan dan yuran peperiksaan bagi mendapatkan Sijil Perakuan juga adalah rendah. Secara alternatif, sekiranya anda cenderung untuk mengujikaji seperti kebanyakan pengguna Radio Amatur atau 'Ham Radio', anda boleh membuat unit 'Ham Radio' anda sendiri.

Siapakah yang boleh membantu saya?
Kelab-kelab Radio Amatur terdapat di seluruh Malaysia dan bersedia untuk membantu anda. Ada di antara kelab-kelab tersebut mempunyai laman web yang mengandungi maklumat mengenai hobi tersebut seperti ASTRA, JASRA, MARTS dan MARES atau anda boleh layari laman web SKMM.

Bagaimana saya boleh menjadi seorang operator Radio Amatur?
Hanya mereka yang telah diperakui boleh mengendalikan sesuatu alat Radio Amatur. Bagi mendapatkan Sijil Perakuan, anda haruslah seorang warganegara Malaysia berusia 14 tahun ke atas dan lulus ujian-ujian berikut:
  • Ujian Teori Radio dan Kefahaman Peraturan Radio bagi Sijil Perakuan Kelas B atau;
  • Ujian Kod Morse, Ujian Teori Radio dan Kefahaman Peraturan Radio serta memiliki Sijil Perakuan Kelas B selama setahun bagi Sijil Perakuan Kelas A

Siapakah yang mengeluarkan Sijil Perakuan tersebut?
Sijil Perakuan tersebut hanya dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kepada mereka yang telah lulus ujian yang diadakan.

Adakah saya perlu membayar yuran?
Ya, Sijil Perakuan tersebut haruslah diperbaharui setiap tahun. Yuran tahunan bagi Sijil Perakuan Kelas A adalah sebanyak RM36.00 dan bagi Sijil Perakuan Kelas B adalah RM24.00 setahun.

Apakah yang perlu saya pelajari sebagai permulaan?
Anda boleh memulakan pembelajaran anda dengan mempelajari Fonetik Abjad (Alphabet Phonetic) yang digunakan oleh pengguna-pengguna Radio Amatur di seluruh dunia.

Wednesday, November 6, 2013

Radio Amateur Examination (RAE) Disember 2013

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Permohonan untuk menduduki RAE Siri 9/2013 (yang akan berlangsung pada 19 Disember 2013) secara rasminya telah ditutup pada 1 November 2013 yang lalu.

Senarai calon yang akan ke RAE Siri 9/2013 Zon Selatan:
01. Nazira Syakira Binti Mansor
02. Kamariah Binti Rahman
03. Hadijah Binti Abdul Majid
04. Harun Bin Tinggal
05. Mohd Sukhimi Bin Md Shah
06. Tabi Bin Zainal
07. Mohammad Azwan Bin Jemahat
08. Ang Yi Liang
09. Muhammad Yusoff Bin Othman
10. Hirwanizam Bin Mohd Tahir
11. Shapie Bin Abu Bakar
12. Hazrani Bin Harun
13. Nur Farahana Afiqah Binti Apendi
14. Mohd Sabri Bin Bakhari
15. Mohamad Nastain Bin Sa'im
16. Saiefunizam Bin Rahmat
17. Sahrudin Bin Rahmat
18. Hilmi Bin Musa
19. Jamil Hasni Bin Abdullah
20.
21.
22.
23. 

Masih ada masa lagi untuk anda mempersiapkan diri sebelum anda melangkah ke dewan peperiksaan. Oleh itu, teruskanlah usaha sebaik mungkin. Jangan putus asa dan patah semangat. Yakinlah bahawa anda juga boleh berjaya. Admin serta semua ahli KPKRMg mendoakan dan mengharapkan kejayaan para SWAL yang telah berusaha untuk mendalami ilmu Radio Amatur selama ini.

"JIKA ANDA BERUSAHA BERSUNGGUH-SUNGGUH DENGAN IKHLAS HATI, TIDAK MUSTAHIL KEJAYAAN AKAN DAPAT DICAPAI"

73 de admin